Khamis, 22 Oktober 2026

GO DIGITAL 2026 BINA USAHAWAN BERDAYA SAING

WARTAWAN SABAH REVOLUSI 4 September 2026 2 minit bacaan
Kongsi:
GO DIGITAL 2026 BINA USAHAWAN BERDAYA SAING

KOTA KINABALU: Program Perantis Go Digital 2026 anjuran IKSNita Sabah dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilihat mampu memperkasa golongan usahawan wanita dan belia di Sabah menerusi penguasaan teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI).

Program itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kemahiran komuniti, khususnya usahawan wanita dan golongan belia, dalam memanfaatkan teknologi digital dan AI bagi pengurusan serta pembangunan perniagaan.

Pengerusi IKSNita Sabah, Datuk Dayang Khatijah Datu Bachtiyal berkata, penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen IKSNita Sabah dalam menyediakan platform pembangunan kemahiran digital kepada komuniti.

Menurutnya, inisiatif itu selaras dengan keperluan semasa sektor keusahawanan yang semakin bergantung kepada penggunaan teknologi.

“Antara pengisian utama program ialah bengkel dan latihan praktikal berkaitan Google Business Profile, penggunaan ChatGPT untuk usahawan, Canva AI, Video AI serta penggunaan AI bagi membantu pengurusan rekod kewangan.

“Melalui Google Business Profile, peserta didedahkan kepada kaedah membina dan mengurus profil perniagaan secara dalam talian bagi meningkatkan keterlihatan perniagaan kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui, semalam.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS), Datuk Rosmawati Lasuki.

Sementara itu, pengendali kursus, Ts Gs Mahadthir Asbollah berkata, penggunaan ChatGPT memberi pendedahan kepada peserta mengenai kaedah menghasilkan dokumen rasmi, prosedur operasi standard (SOP) serta bahan penulisan pemasaran atau copywriting dengan lebih pantas dan sistematik.

Katanya, peserta turut diberi latihan menggunakan Canva AI untuk menghasilkan bahan promosi seperti poster, kandungan media sosial dan pembentangan profesional.

Selain itu, mereka turut mempelajari teknologi Video AI bagi menghasilkan video promosi untuk tujuan pemasaran produk dan perkhidmatan.

“Dalam bengkel tersebut, peserta dibimbing mengenai penggunaan aplikasi berasaskan AI seperti ChatGPT, Canva AI dan Video AI bagi meningkatkan produktiviti, memperkemas operasi serta memperkukuh daya saing perniagaan.

“Program selama lima hari itu melibatkan penyertaan pemimpin pelajar universiti dan kolej, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) komuniti, usahawan wanita daripada golongan B40 serta pemimpin belia wanita.

“Pendedahan yang diberikan diharap dapat meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam memanfaatkan teknologi digital dan AI sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan perniagaan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, Program Perantis Go Digital 2026 diharapkan menjadi pemangkin kepada pembentukan lebih ramai usahawan digital yang berdaya saing di Sabah, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi komuniti dan negara.

#sabahrevolusi

#TeknologiDigital #KecerdasanBuatan #AI #ChatGPT #CanvaAI #VideoAI #GoogleBusinessProfile #UsahawanDigital #EkonomiDigital #Sabah #KotaKinabalu #BeritaSabah